Pernah tak anda terfikir anda boleh mendapatkan pakej sarapan pagi yang lengkap dengan hanya RM1? Buat orang Sandakan, Sabah, mungkin pagi anda selepas ini akan lebih bertenaga sekiranya anda singgah ke gerai tepi jalan ini yang menjual pakej sarapan pagi dengan harga RM1 SAHAJA!
Bayangkan dengan hanya RM1 anda boleh mendapatkan sarapan sandwic ayam dan sayur beserta kopi atau teh. Gerai ini terletak di tepi jalan berhampiran Taman Fajar di Jalan Airport, Sandakan yang merupakan laluan utama yang dilalui banyak kenderaan pada setiap pagi.
Perniagaan ini dijalankan oleh dua orang pemuda iaitu Jaafar Pame dan rakannyaMuhammad Abdullah. Idea ini tercetus dan dibuat atas keinginan membantu mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan sarapan dengan harga murah. Yelah, mana nak dapat sandwic beserta kopi dengan harga RM1?
Bukan itu saja, pancake, sup cendawan dan minuman panas yang lain turut dijual berasingan dengan harga RM1 juga setiap satu. Mesti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana mereka mendapat untung dengan menjual harga semurah itu?
Menurut kedua-dua pemuda ini, biarpun ia dijual dengan harga murah, mereka masih mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan. Kata mereka, sambutan orang ramai memang sangat menggalakkan.
Mereka memulakan perniagan itu sejak Oktober lalu dan sehingga kini mereka mampu mempunyai pelanggan tetap mereka sendiri. Dengan hanya menggunakan poster dan kain rentang bagi memaparkan menu sarapan, nampaknya pendekatan itu betul-betul menarik perhatian ramai.
Mereka mula berniaga bermula dari jam 6 hingga 8 pagi iaitu pada waktu puncak di mana orang ramai keluar bekerja pada setiap Isnin hingga Sabtu. Bahkan, mereka juga menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar kawasan Batu 7 Jalan Airport bagi sup cendawan dan minuman panas dengan hanya mengenakan caj serendah RM1.
Nampaknya idea menjual makanan dengan RM1 ini menjadi ikutan buat peniaga lain juga. Salah satunya gerai di Jitra, Kedah yang mana gerainya telah disiarkan di dalam berita Astro Awani baru-baru ini. Dikatakan gerai itu menjual cendol, laksa, mee sup dan banyak lagi dengan harga RM1! Memang murah!
No comments:
Write comments